Bayangmu Di Angkasa
Dalam kisahnya yang lucu, unik dan penuh warna, terselit juga syahdu yang menghangatkan hati. Jom baca kisah Timah Langit dan rasai hikmah bayang di angkasa.
Hai. Orang kampung panggil aku Timah Langit.
Nama itu bukan aku pilih, tapi hidup aku yang pilih nama itu untuk aku.
Dari kecil lagi aku memang lain macam sikit. Umur lima tahun aku dah duduk depan TV tengok dokumentari angkasa sambil tanya soalan yang Nenek Kuntum pun tak mampu jawab.
“Kenapa bintang tak jatuh atas kepala kita?”
“Kenapa bulan ikut kita balik?”
“Kenapa makhluk asing tak datang makan nasi lemak?”
Mak aku geleng kepala sambil sapu muka.
“Budak ni… kalau bukan kepala dia di awan, mesti di orbit.”
Sejak itu keluarga panggil aku Timah Langit. Kepala aku memang selalu terbang ke atas, bukan ke depan.
Kalau orang panggil, aku lambat jawab. Tapi kalau narrator dokumentari angkasa berbunyi, aku terus muncul depan TV macam tak sedar diri.
Pernah dulu dekat kedai makan, satu kampung tengah syok tengok WWE wrestling. Semua orang jerit, meja bergoyang, ada pakcik siap buat gaya The Rock.
Aku pula dah gatal tangan sebab nak tengok dokumentari Space Of Universe. Entah macam mana aku boleh alih channel.
Satu restoran terus senyap.
Narator TV berbunyi:
“The universe expands in silence…”
Semua orang pandang aku.
Pakcik depan tanya, “Budak ni dari planet mana?”
Mak tarik telinga aku sampai merah.
“Timah… kau nak kena body slam ke?”
Tapi perangai itu berlarutan sampai besar juga. Bila orang lain sibuk scroll TikTok, aku sibuk tengok dokumentari Space Of Universe sampai jiran sebelah pun confuse rumah itu ada budak ke ada saintis NASA.
Suatu malam aku ternampak sesuatu yang buat jantung aku rasa macam ada gendang kecil.
Ada satu bayang terapung tinggi, macam manusia menari perlahan di angkasa.
Aku pejam mata.
Buka balik.
Masih ada.
Aku bisik pada diri sendiri.
“Ya Allah, janganlah aku nampak balan balan.”
Tiba tiba belakang aku muncul Amir Lintah. Jiran yang diberi gelaran itu sebab suka melekat bila tak perlu.
“Timah, kenapa berdiri tegak macam tiang?”
“Pergi balik Amir. Aku tengah buat kajian saintifik ni.”
“Kajian apa? Tak nampak apa pun.”
“Sebab kau tengok bumi. Aku tengok angkasa. Pergi balik.”
Nenek Kuntum yang entah dari mana berdiri dekat pintu sambil ketuk lantai dengan tongkat. Suara nenek garau sedikit.
“Timah. Kau ingat tak cerita turun temurun keluarga kita?”
Aku kerut kening. Kalau nenek mula cerita pelik macam ini, mesti panjang.
Nenek sambung.
“Orang tua dulu selalu percaya, bila sesuatu muncul dan buat hati kita tertanya tanya, mungkin ada perkara dalam hidup yang kita belum nampak. Jangan terus takut. Tengok apa yang boleh kau pelajari daripadanya.”
Aku pandang semula ke langit.
Amir Lintah pula bisik perlahan.
“Kalau hidup kau berubah, mungkin kau tak marah aku dah.”
Aku terus jeling.
“Amir, aku sumpah kalau kau tak diam aku campak kau ke orbit.”
Beberapa malam seterusnya bayang itu muncul lagi.
Anehnya, setiap kali aku nampak bayang itu, aku teringat tangan Nenek Kuntum yang sejak kecil selalu membantu orang kampung. Mengurut orang sakit, menjaga ibu mengandung dan menemani mereka yang perlukan pertolongan.
Aku mula tertanya tanya kenapa selama ini aku sibuk mencari jawapan di langit sedangkan begitu banyak perkara belum aku pelajari di bumi.
Aku nak test mengurut Amir Lintah, tapi sebab tak mahram, aku urut kucing jiran yang bernama Joyah saja.
Joyah nampak approve cara aku mengurut sampai terkeluar lidah, mungkin rasa selesa kot.
Nenek Kuntum tengok perangai aku lalu datang membawa minyak angin cap kapak.
“Timah, kalau betul kau berminat, jangan pandai pandai belajar sendiri. Ilmu merawat orang kena belajar dengan betul.”
Aku pandang nenek.
“Maknanya nenek nak ajar aku?”
Nenek angguk.
“Kalau kau sanggup belajar. Mengurut ada ilmunya. Menjaga orang sakit ada caranya. Menyambut kelahiran lagi besar amanahnya.”
Aku ternganga.
“Aku ni… macam bakal bidan ke?”
Nenek sengih.
“Kau memang anak langit. Tapi kaki kau kena pijak bumi juga.”
Amir Lintah menyampuk dengan muka tak malu.
“Kalau kau jadi bidan nanti aku boleh tolong.”
Aku jawab lirih.
“Kau tolong jangan pengsan pun dah cukup, Amir.”
Malam terakhir bayang itu muncul, bentuknya kelihatan lebih jelas.
Ia bergerak perlahan di kejauhan.
Aku tak tahu apa sebenarnya yang aku lihat. Mungkin permainan awan dan cahaya. Mungkin mata aku yang terlalu lama memandang langit.
Tapi malam itu aku tak lagi rasa takut.
Aku cuma teringat segala yang Nenek Kuntum ajarkan tentang tangan yang digunakan untuk membantu, hati yang perlu sabar dan ilmu yang datang bersama tanggungjawab.
Aku ketawa kecil sambil rasa mata panas.
Dalam hati aku bisik perlahan.
“Okey, aku faham. Selama ni aku sibuk cari sesuatu jauh di angkasa, rupanya dekat bumi pun banyak benda aku belum belajar.”
Keesokan pagi aku mula belajar betul betul dengan Nenek Kuntum.
Ilmu urut.
Cara meredakan sakit dengan selamat.
Cara menjaga ibu mengandung.
Dan ilmu menyambut kelahiran yang dipelajari perlahan, dengan bimbingan dan penuh amanah.
Tak semuanya mudah.
Ada masa aku salah.
Ada masa Nenek Kuntum ketuk tangan aku sambil membebel.
“Timah, manusia bukan doh karipap. Jangan tekan sesuka hati.”
Aku tarik tangan cepat cepat.
“Baik, cikgu.”
Amir Lintah dari luar rumah menyampuk.
“Kalau karipap aku boleh jadi bahan latihan.”
Aku dengan nenek serentak menjawab.
“DIAM, AMIR!”
Lama kelamaan, aku semakin mahir.
Bukan kerana bayang itu memberi aku kuasa.
Bukan kerana langit menurunkan ilmu.
Tapi kerana aku akhirnya sanggup belajar sesuatu yang selama ini berada dekat dengan aku.
Akhirnya Timah Langit bukan lagi budak dokumentari angkasa saja.
Aku menjadi bidan kampung yang disayangi ramai.
Amir Lintah masih melekat, tapi kali ini jadi pembantu tak rasmi yang tugas utamanya angkat barang dan jangan banyak bercakap.
Joyah pula masih datang kalau nampak minyak urut.
Dan setiap kali selesai membantu seseorang, aku akan pandang langit sambil tersenyum kecil.
Aku masih tak tahu apa sebenarnya bayang yang pernah aku lihat di angkasa.
Tapi mungkin aku tak perlu tahu semuanya.
Kadang sesuatu hadir bukan untuk memberi kita jawapan.
Cukup sekadar membuat kita berhenti, melihat semula hidup dan memilih jalan yang lebih baik.
Dalam hati aku cakap perlahan.
“Terima kasih untuk petanda itu. Kau datang tepat pada masa yang Tuhan tentukan.”
Translation
Discussion
0 commentsNo comments yet. Start the conversation.